Berfirman Allah Ta'ala di dalam Al-Qur'an:
يَا
أَيُّهَاالنَّاسُ إِنَّاخَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَّاُنْثَى
وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوْبًا وَّقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوْا إِنَّ
اَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللهِ أَتْقَاكُمْ...الحجرات:13
"Hai
manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan
seorang perempuan, dan Kami jadikan kamu beberapa bangsa dan suku-suku
bangsa, supaya kamu mengenal satu sama lain. Sesungguhnya yang paling
mulia di antara kamu dalam pandangan Allah ialah yang lebih bertakwa".(Q.S. Al-Hujurat:13.)
Dari Abu Hurairah r.a. katanya, bersabda Rasulullah s.a.w.: "Manusia
ibarat logam, orang-orang baik di zaman jahiliah adalah orang-orang
baik pula di zaman Islam jika mereka berpengetahuan, manusia mengikuti
Quraish dalam perkara ini; yang muslim mengikuti muslim Quraish dan
yang kafir mengikuti kafir Quraish, kamu akan dapati orang yang paling
baik ialah orang yang sangat membenci perkara ini (kekufuran) sehingga
ia selamat dari terjerumus kedalamnya". (Muttafaqun Alaih menurut lafaz Muslim dalam keutamaan sahabat).
Dari Abu Hurairah r.a. katanya, bersabda Rasulullah s.a.w.: "Pelajarilah
olehmu tentang nasab-nasab kamu agar dapat terjalin dengannya tali
persaudaraan kamu. Sesungguhnya menjalin tali persaudaraan itu aka
membawa kecintaan terhadap keluarga, menambah harta, memanjangkan umur
dan merelakan Allah". Diriwayatkan oleh Ahmad dalam musnadnya, Tirmizi dan Al-Hakim
Dengan
itu jelaslah bahawa ilmu nasab adalah suatu ilmu yang agung,
berhubungkait dengan hukum-hukum syarak yang termasuk dalam hukum yang
lima. Oleh itu Allah memberi panduan kepada kita dengan firmanNya di
dalam kitab suci Al-Qur'an:
وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوْبًا وَّقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوْا إِنَّ اَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللهِ أَتْقَاكُمْ...الحجرات:13
"Dan
kami jadikan kamu, beberapa bangsa dan suku-suku bangsa, supaya kamu
kenla mengenal satu sama lain, sesungguhnya yang paling mulia diantara
kamu dalam pandangan Allah ialah yang lebih bertakwa".(Q.S. Al-Hujurat:13.)
Orang
yang mengingkari keutamaan ilmu ini adalah orang jahil, pembangkang dan
menentang Allah dan RasulNya. Mereka meriwayatkan sebuah hadis dari
Rasulullah s.a.w. yang maudhu' (palsu), katanya: "Bahawa mengetahui ilmu nasab itu tidak memberi manfaat dan tidak mengetahuinya pun tidak membawa mudarat".
Dengan memalsu hadis ini sesungguhnya mereka telah menghukum diri
mereka sendiri, iaitu mereka menempah tempat tinggal mereka di dalam
neraka jahanam, dengan mengira bahawa mereka telah melakukan sesuatu
yang baik. Sungguh syaitan telah memperdaya mereka dengan menghiasi
amalan mereka.
Bahagian Pertama - Kedudukan Ilmu Nasab Yang Penting Diketahui Dalam Syariah Islamiah
- Mengetahui nasab Rasulullah s.a.w. yang mana Nabi s.a.w. bersabda dalam hal ini katanya: "Aku
adalah Muhammad Bin Abdullah Bin Abdul Muttalib Bin Hashim Bin Abdi
Manaf Bin Qusai Bin Kilab (nama sebenarnya Hakim) Bin Murrah Bin Ka'ab
Bin Luay Bin Ghalib Bin Fihr (Quraish) Bin Malik (Bin An-Nadhr) Bin
Kinanah Bin Khuzaimah Bin Mudrikah Bin Ilyas Bin Mudhar Bin Nizar Bin
Ma'ah Bin Adnan". Diriwayatkan oleh Ibnu Asakir dari Abdullah Bin Abas. Siapa
yang meragukan nasab Rasulullah, apakah baginda orang Quraish, Yaman
atau Ajam (bukan Arab) maka ia kafir dan tidak diampuni, melainkan jika
ia jahil maka wajib baginya belajar.
Dari Saad, katanya: Ketika aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w., siapakah aku ini ya Rasulullah? Baginda menjawab: "Kamu Saad Bin Malik Bin Wuhaib Bin Abdi Manaf Bin Zuhrah, siapa mengatakan selain daripada itu, maka baginya kutukan Allah". Diriwayatkan oleh Al-Hakim.
Dari Amr Bin Murrah Al-Juhni r.a. katanya: Pada suatu hari aku berada di sisi Rasulullah s.a.w. kemudian baginda bersabda: "Siapa berasal dari keturunan Maad hendaklah berdiri", maka aku berdiri tetapi baginda menyuruhku duduk sehingga tiga kali. Lalu aku bertanya, dari keturunan siapa kami ya Rasulullah? Dijawab: "Kamu dari keturunan Qudha'ah Bin Malik Bin Humair Bin Saba". Diriwayatkan oleh Khalifah Bin Khayyat. - Mengetahui asal keturunan para Imam (pemimpin) seperti dinyatakan oleh Ibnu Hazm, "Seseorang wajib mengetahui bahawa Khilafah tidak boleh dipegang melainkan oleh keturunan Fihr Bin Malik Bin An-Nadhr Bin Kinanah dan tidak akan diketahui melainkan dengan mengenali ilmu nasab. Oleh itu mengetahui ilmu nasab menjadi suatu kewajipan secara umum dalam konteks ini".
- Saling mengenal di antara satu sama lain sehingga
seseorang tidak dinasabkan kepada selain ayahnya atau datuknya, kerana
sabda Rasulullah s.a.w. dalam riwayat Bukhari yang mana bunyinya: "Seseorang
yang mengaku orang lain sebagai ayahnya padahal ia mengetahui maka ia
telah berbuat kekufuran, dan siapa mengaku kepada nasab bukan nasabnya
maka hendaknya ia menempah tempat tinggalnya di dalam neraka". Beberapa perkara yang berkaitan dengan hal di atas ialah:
- Mengetahui hukum-hukum pusaka, yang mana sebahagian waris boleh melindungi sebahagian waris yang lain.
- Hukum para wali dalam nikah, yang mana sebahagian wali diutamakan dari wali yang lain.
- Hukum wakaf, jika orang yang mewakafkan itu mengkhaskan kepada sebahagian keluarga atau kerabat dan tidak kepada sebahagian yang lain.
- Mengambilkira
nasab dalam kafaah suami terhadap isteri dalam nikah menurut Abu
Hanifah, Ahmad dan Syafi'e kerana sabda Rasulullah s.a.w., dari Siti
Aisyah r.a. dalam keadaan Marfuk: "Pilihlah tempat untuk menyimpan
air mani kamu dan kahwinlah orang-orang yang setaraf serta kahwinkan
wanita-wanita itu dengan mereka". Diriwayatkan oleh Ibnu Majah, Daraqutni, Al-Hakim dan Al-Baihaqi. Dan dari Anas r.a. dari Rasulullah s.a.w. bersabda: "Berkahwinlah kamu dengan keluarga yang baik kerana sesungguhnya urat itu meresap", disebutkan oleh Ibnu Adi dalam kitab Al-Kamil.
- Memperhatikan nasab wanita yang akan dinikahi, sabda Nabi s.a.w.: تُنْكِحُ الْمَرْأَةُ ِلأَرْ بَعٍ : لِمَالِهَا، وَلِحِسَبِهَا، وَلِجَمَالِهَا، وَلِدِيْنِهَا. فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّيْنِ تَرِبَتْ يَدَاكَ"Wanita itu boleh dinikahi dengan empat sebab; kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya, maka utamakan yang memiliki agama nescaya kamu akan beruntung". Diriwayatkan oleh Syaikhan dan Ahmad dalam musnad.
- Mengetahui nama-nama isteri nabi yang mana diharamkan kepada seluruh orang Islam mengahwini mereka, begitu juga mengetahui nama-nama sahabat besar dari kalangan Muhajirin dan Ansar dan mengetahui orang-orang yang berhak menerima khumus (seperlima) dari kalangan kerabat Rasul serta mengetahui orang-orang yang diharamkan kepada mereka sedekah dari keluarga Muhammad yang mana Ibnu Hazm menganggap perkara-perkara di atas sebagai fardhu kifayah.
Kemudian para ulama telah menyusun nasab-nasab seperti yang diceritakan oleh Az-Zamakhsyari katanya: Nasab itu terbahagi kepada enam peringkat, pertama dinamakan sya'b yakni puak, kedua kabilah, ketiga imarah yakni suku, keempat batn yakni perut, kelima fakhiz yakni keluarga dan yang keenam fasilah
yakni kaum kerabat. Mithalnya kata beliau, puak Khuzaimah, kabilah
Kinanah, suku Quraish, kelompok Qusai, keluarga Hashim dan kaum kerabat
Abu Talib.
Berkata Amirul Mukminin Sayidina Omar Bin Al-Khatab r.a.: "Pelajarilah
nasab kamu supaya kamu dapat menjalin tali kekeluargaan diantara kamu,
dan janganlah menjadi seperti kaum Nabat hitam yang jika ditanya salah
seorang dari mereka: Dari keturunan siapa kamu? Lalu mereka menjawab:
Kami dari kampung itu." Maka demi Allah kiranya ada berlaku sesuatu
antara seseorang dengan saudaranya, andainya ia tahu hubungannya
dengan saudaranya itu dari hubungan kerabat nescaya hal ini akan
menghalangnya dari mencerobohnya.
Sebagaimana
orang-orang Arab yang memberi penghormatan terhadap nasab-nasab mereka
maka demikian juga seluruh bangsa Ajam (selain Arab) memberi perhatian
terhadap nasab-nasab mereka dan perkara ini diambilkira dalam syariat
Islam dengan syarat tidak menimbulkan asabiyah atau perkauman dan
menimbulkan serewan jahiliah kerana Islam melarang asabiyah jahiliah
seperti dinyatakan dalam sabda Nabi s.a.w.: "Tinggalkan ia (asabiyah) kerana ia busuk".
Kata-kata baginda diucapkan ketika dua kelompok Aus dan Khazraj sedang
bertikai sehingga berkata satu kelompok, "Mari kita pertahankan Aus"
dan berkata yang lain, "Mari kita pertahankan Khazraj".
Bahagian Kedua - Usaha Orang-Orang Orientalis Dalam Melenyapkan Ilmu Nasab
Manakala
paderi-paderi Nasrani menanggalkan pakaian kepalsuan mereka dengan
mengenakan pakaian ilmu yang diperoleh dari orientalisme maka
sebenarnya mereka telah meruntuhkan syariat Islam dengan cara meragukan
dan membisikkan kepada tali barut mereka dari kalangan bangsa kita
dalam perkara nisbah (keturunan) dan kepada mereka yang telah
terpengaruh dengan adat istiadat mereka dalam segi akidahnya supaya
mereka membantunya dalam meruntuhkan sendi-sendi Islam, ajaran-ajaran
dan akhlaknya. Dan mereka datang dari segenap penjuru dengan anggapan
bahawa cara itu akan memastikan matlamat mereka tercapai dengan
memusuhi Islam serta mereka menginginkan supaya cahaya Allah itu
dipadamkan dengan mulut-mulut mereka namun Allah tetap mahu
menyempurnakan cahayanya.
Diantara
perkara yang hendak mereka hancurkan ialah ilmu nasab yang ada pada
orang-orang Islam dan Arab. Mereka itu terdiri daripada orientalis
Jerman bernama Westernfield, pengaran buku 'Aliran Tasawuf Di Selatan
Negeri-Negeri Arab Pada Aabad Ke-12' dan diikuti oleh orientalis
Inggeris bernama R.B. Sargent. Mereka dalam kempennya menggunakan
kaedah Ibnu Khaldun(49) dalam perkara nasab yang
bertujuan mencerca nasab Bani Alawi secara khusus dan seruan ini datang
jauh sebelum Tantawi yang kemudian dibantah oleh Al-Allamah pakar
nasab Syed Abdullah Bin Hassan Bilfagih dalam kitabnya 'As-Syawahid Al-Jaliyah(50) An Mada Al-Khalf Fil Qaedah Al-Khalduniyah'
dimana beliau telah berjaya mengembalikan tipu daya mereka ke atas
diri mereka dan dengan itu gagallah seruan mereka. Firman Allah:
فَأَمَّا الزَّبَدُ فَيَذْهَبُ جُفَاءً وَأَمَّا مَا يَنْفَعُ النَّاسَ فَيَمْكُثُ فِي اْلأَرْضِ...الرعد:17
"Adapun buih itu hilanglah sebagai barang yang tiada berharga dan apa yang berguna kepada manusia tinggal tetap di muka bumi". (Surah Ar-Ra'd:17).
Bahagian Ketiga - Ilmu Nasab Dalam Pandangan Ilmu Moden
Ilmu
moden sangat mementingkan ilmu warisan dengan menghasilkan beberapa
penemuan bahawa keturunan itu berbeza antara satu dengan yang lain dalam
mendapatkan kelebihan-kelebihan yang diwarisi dan itu sesuai dengan
sabda Nabi s.a.w., dari Abu Hurairah r.a. katanya, telah bersabda
Rasulullah s.a.w.: "Manusia bagaikan logam, yang baik di zaman
Jahiliah baik pula di zaman Islam jika mereka memiliki pengetahuan.
Manusia mengikuti orang-orang Quraish dalam hal ini, yang muslim
mengikuti si muslim dan yang kafir mengikuti si kafir. Engkau akan
dapati orang yang paling baik adalah orang yang sangat benci perkara
ini sehingga ia terjatuh kedalamnya." Muttafaqun Alaih, menurut lafaz Muslim dalam keutamaan sahabat.
Maka
terbuktilah bahawa setiap keturunan dari keturunan-keturunan yang ada
di alam hidup ini memiliki kelebihan-kelebihan yang diwarisi dan
dengannya ia memperoleh keistimewaan sama ada alam yang hidup itu berupa
tumbuh-tumbuhan, air, haiwan atau manusia, maka masing-masing
keturunan membawa sifat-sifat ayahnya. Siapa berasal dair ayah yang
mulia maka pasti ia akan mewarisi sifat-sifat ayahnya itu dan
sebaliknya orang yang berasal dari ayah yang memiliki sifat-sifat yang
hina dan penyakit jasmani, saraf dan jiwa maka ia akan menurun kepada
keturunannya. Oleh kerana itu Rasulullah s.a.w. menganjurkan dalam
sabdanya: "Pilihlah tempat untuk menyimpan air manimu, kahwinilah
wanita-wanita yang setaraf denganmu dan kahwinkan wanita-wanita itu
kepada mereka". Diriwayatkan oleh Ibnu Majah, Daraqutni, Al-Hakim dan Al-Baihaqi, dari Ummul Mukminin Aisyah r.a. marfuk.
Dan hadis riwayat Anas r.a.: "Berkahwinlah kamu dengan keluarga yang baik kerana sesungguhnya urat itu meresap". Diriwayatkan oleh Ibnu Adi dalam kitab Al-Kamil.
Maka
sesungguhnya Rasulullah s.a.w. menganjurkan kepada kita supaya tidak
meletakkan air mani kita melainkan di rahim-rahim yang berasal dari
keturunan yang mulia, baik dan dari sumber yang baik sehingga anak cucu
dan zuriat kita terhindar dari kekotoran dan suci dari segala
kenistaan. Ini tidak akan dapat diketahui melainkan dengan ilmu nasab.
Maka kenyataan yang kita lihat pada hari ini di Eropah dimana perbuatan
keji itu telah bermahrajalela, nasab bercampur-aduk dan masyarakat
Eropah terjerumus didalam jurang yang rendah maka tersebarlah di sana
penyakit-penyakit kelamin, jiwa dan saraf. Oleh kerana sifat dendam
yang ada dalam diri mereka lalu mereka membawa masuk perbuatan keji itu
ke dalam dunia Islam sehingga mereka dapat menghancurkan nasab-nasab
penduduknya dan akhirnya mereka menjadikan dunia Islam terputus
hubungan dengan asal usulnya. Disaat itu mereka merempuh masuk dikala
umat Islam telah meninggalkan semua ajaran-ajaran yang lurus. Dan hanya
Allah sebagai pelindung kita dari segala kejahatan mereka dan Allah
yang menggagalkan tiu daya mereka. Firman Allah:
يُرِيْدُوْنَ أَنْ يُطْفِئُوْا نُوْرَ اللهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَيَأْبَى اللهُ إِلاَ أَنْ يُتِمَّ نُورَهُ
"Mereka
hendak memadamkan cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka namun Allah
menolak (dan tidak rela) melainkan menyempurnakan cahayaNya". Maha benar Allah yang Maha Agung.
Kami
memohon kepada Allah supaya menjadikan usaha ini semata-mata kerana
Allah dan demi mempertahankan satu sendi dari sendi-sendi agama Islam
serta memelihara kesucian itrah Ahlul Bait Nabi yang mulia yang mana
orang-orang yang menentang Allah dan RasulNya ingin merendahkan
kesuciannya. Ya Allah seandainya ini benar maka itu daripadaMu dan jika
salah maka itu dari diriku dan dari syaitan. Dan kami sudahi seruan
kami dengan: "Subhana Rabbika Rabbil Izzati Amma Yasifun Wasalamun Alal Mursalin Walhamdulillahi Rabbil Alamin".
Sekian.
48) Lihatlah pembahasan kesembilan, bahagian ketujuh, mengenai hukum-hukum yang dikhaskan kepada Ahlul Bait dalam buku ini.
49) Lihat Al-Qaidah di akhir pembahasan, cetakan Al-Mukhtar Al-Islami, Dar As-Salam, Mesir.
50) Kaedah Ibnu Khaldun: Jika kamu meragukan bilangan ayah dalam nasab kerana sedikit atau banyaknya bilangan itu akan menyesatkannya dan kamu menghendaki kepastian untuk mengetahui sesuatu yang dapat menentukan bilangan mereka dengan ketentuan yang biasanya benar, sedangkan tahun-tahun itu dapat diketahui dengan pasti olehmu, maka untuk membenarkan bilangan nasab mereka pada kunci nasab hendaknya kamu menentukan bahawa tiap seratus tahun mesti ada tiga orang datuk, juka tepat kiraan itu dengan bilangan mereka maka itu benar, tetapi jika kurang satu generasi maka ia salah bilangan mereka kerana terlebih satu. Adapun juka terdapat keraguan pada tahun-tahunnya maka hendaknya kamu kira seperti di atas iaitu dengan membahagikan bilangan tahun kepada bilangan datuk, jika dapat maka itu jawapannya. Kaedah ini bertentangan dengan kenyataan dan telah dibantah dan dipatahkan dengan bukti-bukti oleh As-Sayyid Abdullah bin Hasan Bilfaqih dalam kitabnya As-Syawahid Al-Jaliyah An Mada Al-Khalf Fil Qaidah Al-Khalduniyah dicetak di percetakan Al-Mukhtar Al-Islami.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar
stroom09@gmail.com